Pendekatan Bank Grameen di Malaysia

/ / Artikel AIM
sejarah2

Di Malaysia pendekatan Bank Grameen mula dilakukan melalui kajian-kajian di Barat Laut Selangor yang bermula dengan projek perintis selama dua setengah tahun, melibatkan 373 orang isi rumah termiskin yang menerima pinjaman kebajikan pertama mereka. Di akhir projek Ikhtiar sekurang-kurangnya 90 peratus bayaran balik diterima termasuk modal pinjaman dan kos pengurusan. Ini membuktikan program ini telah berjaya. Di peringkat awal pengenalan projek seramai 232 orang Sahabat lelaki dan 141 orang Sahabat wanita telah menerima pinjaman mereka. Kepelbagaian projek telah dijalankan oleh Sahabat-Sahabat antaranya kedai runcit, kedai makan, berniaga pasar tani, tanaman sayur, tanaman padi dan ternakan binatang mengikut kemahiran dan pengalaman yang ada pada mereka.

Pada akhir Jun 1988, satu kajian telah dijalankan ke atas Sahabat-Sahabat ini untuk mengenalpasti status projek yang dijalankan. Hasil kajian menunjukkan Sahabat-Sahabat wanita ternyata lebih unggul dalam menjalankan projek mereka. Kadar peratusan bayar balik yang tinggi iaitu 95 peratus berbanding Sahabat lelaki 75 peratus sahaja. Kajian impak yang dijalankan juga menunjukkan peningkatan pendapatan lebih ketara pada Sahabat wanita iaitu tambahan sebanyak RM136 sebulan berbanding Sahabat lelaki hanya RM65 sahaja sebulan. Kejayaan besar yang ditunjukkan oleh Sahabat-Sahabat telah memberi keyakinan kepada jawatankuasa pengasas untuk meneruskan pengembangan projek Ikhtiar ke negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.

sejarah2

Pembinaan Pusat Mesyuarat

Kehadiran ke Mesyuarat Pusat juga menunjukkan perbezaan yang agak ketara antara Sahabat lelaki dan Sahabat wanita. Sahabat lelaki yang hadir ke Mesyuarat Pusat di tahap 60 peratus dan Sahabat wanita melebihi 85 peratus pada setiap minggu. Kadar kehadiran yang agak rendah di kalangan Sahabat lelaki dengan alasan mencari nafkah mungkin ada logiknya. Sewajarnya Ikhtiar menetapkan kaum wanita menjadi wakil untuk menyertai Ikhtiar.