Bermula 28 Disember 2011, semua kakitangan Ibu Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia telah berpindah ke bangunan baru, Menara Amanah Ikhtiar yang terletak di Bandar Sri Damansara. Perpindahan tersebut dilakukan secara berperingkat dan berakhir sepenuhnya pada 30 Disember 2011.
Sempena perpindahan ini, satu majlis bacaan doa selamat secara ringkas telah diadakan di surau Menara Amanah Ikhtiar. Bacaan doa selamat tersebut telah diketuai oleh Tuan Haji Zaidan Haji Ismail, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat. Hadir sama di majlis ini ialah Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan, Cik Hajah Jamilah Bisri, Timbalan Pengarah Audit Dalaman dan Cik Hajah Mazanah Abd. Ghani, Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan.
Ibu Pejabat AIM beroperasi sepenuhnya pada 3 Januari 2012. Kini Ibu Pejabat AIM beroperasi di No.3, Jalan Cempaka SD12/1A, Bandar Sri Damansara, PJU9, 52200 Kuala Lumpur. Menyingkap sejarah di awal penubuhan AIM pada tahun 1986, Ibu Pejabat AIM pada ketika itu hanya beroperasi di sebuah rumah dua tingkat di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor, kemudian telah berpindah ke beberapa buah lokasi seperti di Pejabat Daerah Sungai Besar di Selangor, Universiti Sains Malaysia, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Bangunan Kerajaan di Jalan Ledang, Kuala Lumpur dan di Plaza Damansara, Bukit Damansara.
Semoga perpindahan ke Menara Amanah Ikhtiar ini memberi suntikan motivasi kepada warga kerja AIM khususnya di Ibu Pejabat untuk berusaha dengan lebih gigih demi mencapai misi dan visi organisasi. Memiliki kompleks pentadbiran sendiri mampu menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada kakitangan dalam melaksanakan tugas dengan lebih selesa.
|