Bertempat di Auditorium Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM). Majlis yang berlangsung pada 20 Disember 2011 ini menyaksikan jalinan kerjasama antara AIM dan PEYATIM.
Memorandum Persefahaman ini merupakan kesinambungan usaha sama AIM-PEYATIM yang sebelum ini dilaksanakan melalui Kolej Teknologi Bestari (KTB). AIM sebelum ini telah memberi ruang kepada KTB dalam mempromosikan peluang-peluang pendidikan yang ditawarkan kepada anak-anak Sahabat AIM. Jalinan kerjasama ini dilihat telah memberi impak positif iaitu sebanyak 789 orang anak Sahabat AIM sehingga kini berjaya menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan oleh KTB.
Gandingan kerjasama AIM-PEYATIM ini diteruskan lagi dengan program wakaf tanah pendidikan iaitu Tapak KTB seluas 320 ekar (1,299,000 meter persegi) di Setiu, Terengganu. Memorandum ini dimeterai untuk menggalakkan penyertaan warga AIM dalam Program Derma Tanah Wakaf Pendidikan Anak Yatim/ Miskin Malaysia di samping menggalakkan pembangunan pendidikan yang berterusan kepada golongan sasaran. Acara menandatangani memorandum ini telah disempurnakan oleh Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM, Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga AIM, Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor, Presiden PEYATIM serta Dato’ Haji Ismail Said, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf PEYATIM. Acara ini turut disaksikan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Menteri Kewangan (II).
Dato’ Amihamzah berkata, tahun 2011 merupakan tahun asas pengembangan AIM dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015). AIM turut menyasarkan 40% daripada 300,000 orang Sahabat menyertai program derma ini. Usaha-usaha yang dilakukan oleh AIM kini bukan hanya tertumpu kepada peningkatan pendapatan isi rumah semata-mata bahkan turut menjurus kepada pembangunan sahsiah, jasmani dan rohani serta peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran di kalangan Sahabat. Usaha ini akan dikembangkan lagi bagi peringkat seterusnya iaitu kepada generasi pewaris Sahabat AIM itu sendiri. Semoga jaringan kerjasama ini menjadi platform yang bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak. Kerjasama ini juga diharapkan dapat menjadi pemangkin ke arah merealisasikan matlamat kedua-dua organisasi serta hasrat kerajaan dalam membantu golongan miskin. |