Majlis Himpunan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Kuala Kangsar Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

15 Jun 2016 – Bertempat di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), satu majlis yang menghimpunkan Sahabat-sahabat AIM Kuala Kangsar telah diadakan.

 

Majlis yang telah dihadiri oleh sekitar 1,700 orang Sahabat ini diadakan bertujuan bagi memberi ruang kepada Sahabat-sahabat AIM beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan selain menjadi platform meraikan ulang tahun yang pertama Kelab Usahawan Amanah Ikhtiar Parlimen Kuala Kangsar dan penyerahan sumbangan kepada Sahabat-sahabat sempena Ramadhan Al-Mubarak.

 

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, pucuk pimpinan negeri yang lain, Tan Sri Nordin Kardi, Rektor USAS, dan mewakili pihak AIM, Dr. Zubir Harun, Pengerusi Eksekutif serta ahli-ahli lembaga iaitu Datuk Haji Yusoff HM Haniff dan Tuan Haji Mohamad Shahaimi Othman.

 

Dalam ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri, beliau mengucapkan tahniah kepada warga AIM di atas pengiktirafan yang diterima AIM di peringkat antarabangsa di dalam bidang mikro kredit. Beliau turut menyatakan bahawa pihak kerajaan amat prihatin dalam usaha-usaha membangunkan sosio ekonomi bagi semua kumpulan tingkat pendapatan termasuk yang tergolong di bawah 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang merupakan fokus utama kepada AIM bagi mencapai golongan sasar.

 

Dalam majlis ini, YAB Timbalan Perdana Menteri turut berbesar hati menyempurnakan penyampaian cek peruntukan dana pembiayaan AIM untuk kawasan Parlimen Kuala Kangsar bagi tahun 2016 berjumlah RM9,103, 240.00 (RM9.1 juta). Selain itu, sebanyak 12 anugerah di bawah 4 kategori (Sahabat Berjaya, Sahabat Harapan, Sahabat Warga Emas, Sahabat Setia dan Pusat OE Terbaik) telah disampaikan kepada Sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat turut menerima sumbangan berupa kain batik dan kurma, hasil sumbangan daripada UMNO Bahagian Kuala Kangsar dan Kelab Putera 1Malaysia.

 

 

Majlis sebelum itu turut diwarnai dengan pengisian taklimat berkenaan Kelab Usahawan dan Kesukarelawanan AIM yang telah disampaikan oleh En. Mohd Khairul Amri Dato’ Amihamzah, Pengurus Kanan Centre of Entrepreneurship Development (CED) dan ceramah motivasi bertajuk “Mendidik jasmani dan rohani di bulan Ramadhan” yang telah disampaikan oleh YBhg. Kpt (B) Ustaz Dato’ Najmuddin Elias Al-Hafiz, Pegawai Penerangan Hal Ehwal Agama Islam Perak.